Monday, February 16, 2009

PENGERTIAN ISLAM,IMAN DAN EHSAN

Dan kejadian ugama atau terbentuknya ugama itu diatas tiga perkara iaitu Islam, Iman dan Ehsan .
( bermula islam ) itu mengikut zhahir dan mengaku zhahir oleh seseorang akan segala perkara yang dibawa datang akan dia oleh Rasul daripada pekerjaan ugama yang diketahui akan dia dengan dharurah ya’ni ketiadaan fikir bahkan semua orang tahu belaka kata perkara itu daripada pekerjaan ugama sehingga kanak-kanak pun tahu seperti sembahyang, puasa .
Dan rukun itu lima perkara ya’ni terbentuklah segala pekerjaan ugama itu diatas lima rukun yang dinamakan dia rukun islam .
Dan ma’na [ makna ] rukun itu ialah perkara yang jadi sesuatu dengan dia dan dia pula juzu’ sesuatu atau suku sesuatu itu ya’ni rukun itu asas atau tunjang bagi sesuatu . Maka rukun islam atau asas atau tunjang islam itu lima perkara .
Pertamanya : mengucap dua kalimah syahadah
ertinya : aku menyaksi dan aku mengaku dengan lidahku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku menyaksi dan aku mengaku bahawa [ nabi ] Muhammad itu Rasullullah atau utusan Allah .
Dan rukun yang pertama inilah sebagai asas dan tunjang utama bagi seseorang Islam sehingga-hingga tidak dihukumkan dengan seseorang itu dengan Islam kecuali ianya menyebut dengan lidahnya akan dua kalimah itu tetapi orang-orang yang sudah islam dua ibubapanya tidak wajib lagi mereka itu menyebut dua kalimah itu kerana memadai dengan menurut jua . Dan berkata setengah ‘ulama’ wajib juga berkata didalam seumur hidupnya sekali supaya lepas tuntutan Allah Ta‘ala .
Sabda Nabi SAW didalam hadits yang shahih bersabda ia
Ertinya : ‘ diperintah akan daku bahawa aku membunuh akan segala manusia sehingga menyaksi dan mengaku lidah mereka itu bahawa sanya tidak ada Tuhan melainkan Allah’ hingga akhir ’ . ( hadits )
Keduanya : sembahyang lima waktu .
Ketiganya : memberi zakat .
Keempatnya : puasa dibulan ramadhan dan
Kelimanya : menunaikan haji kebaitullah bagi mereka yang kuasa kepadanya akan jalan .
Sabda Nabi s.a.w didalam hadits yang shahih :
Ertinya : ‘ dibinakan pekerjaan ugama islam itu diatas lima perkara : menyaksikan tiada tuhan melainkan allah dan bahawa muhammad itu rasulullah, dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan berpuasa dibulan Ramadhan dan menunaikan haji kebaitullah bagi mereka yang kuasa kepadanya akan jalan ’ .
Maka nyata daripadanya bahawa sanya orang-orang yang tidak mengerjakan lima-lima perkara tersebut itu mereka tidak ada asas dan tunjang pada ugama Islam seperti binaan-binaan yang tidak ada asas dan tunjang maka adalah binaan itu menjadi runtuh . Demikianlah menjadi runtuh ugama apabila tidak ada asas dan tidak ada lima tunjang yang tersebut atau mengingkari dengan lidahnya dan jikalau dengan seloro [ bergurau ] sekalipun .
( bermula iman ) itu percaya hati seseorang serta mengaku putus didalam hatinya akan sungguh segala perkara yang dibawa datang akan dia oleh Rasulullah s.a.w daripada pekerjaan ugama yang diketahuikan dia dengan dharurah benar dengan tidak kena fikir dan bicara bahkan tahu belaka tua dan muda akan bahawa perkara itu daripada pekerjaan ugama islam .
Dan terbentuklah iman itu diatas enam asas atau enam tunjang yang dinamakan dia dengan rukun iman .
Yang pertama : percayakan Allah .
Ma’nanya mengaku putus didalam hati seseorang dengan tentu sungguh [ pasti benar ] Allah Ta‘ala itu Tuhan yang bershifat ia dengan segala shifat-shifat ketuhanan .
Maka jika seseorang itu tidak mengaku putus dengan sungguh begitu atau ia mengetahui jua dengan tidak mengaku maka adalah ia tidak beriman dengan Allah Ta‘ala dan adalah ia orang yang kafir disisi Allah Ta‘ala dan jikalau sembahyang, puasa sekalipun .
Yang keduanya : percaya akan malaikat .
Ma’nanya mengaku putus didalam hati seseorang akan bahawasa malaikat itu tentu sungguh ada dan ia setengah daripada makhluq [ yang dicipta ] oleh Allah Ta‘ala .
Yang ketiganya : percaya akan segala kitab .
Dengan ma’na mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada segala kitab yang datang daripada Allah Ta‘ala seperti AlQur‘an dan Taurat dan lain-lain nya dan sungguh segala perkara-perkara yang disebut didalamnya .
Yang keempatnya : percaya akan segala Rasul-Rasul Allah .
Dengan ma’nanya mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada segala Rasul Allah Ta‘ala itu dan mengaku sungguh akan segala perkara yang mereka itu menyampaikan kepada ummatnya .
Yang kelimanya : percaya akan hari qiyamah .
Dengan ma’nanya mengaku putus seseorang didalam hatinya dengan tentu sungguh ada hari qiyamah itu bila-bila masa jua akan datang berlakunya .
Yang keenamnya : percaya dengan qadha’ dan qadar .
Dengan ma’nanya qadha’ itu penentuan yang telah menentu akan dia [ oleh ] Allah Ta‘ala dengan iradat .
Dan ma’na qadar itu taqdir Allah Ta‘ala maksudnya perbuatan yang telah [ di ] perbuat akan dia oleh Allah Ta‘ala dengan qudratnya .
Maka percaya dengan qadha’ dan qadar itu ma’nanya mengaku putus didalam hati seseorang dengan tentu sungguh akan bahawa segala perkara yang berlaku daripada baik dan jahat [ buruk ] semuanya dengan kehendak Allah Ta‘ala dan dengan menjadi ia akan dia .
Inilah enam perkara yang dinamakan dia rukun iman . Maka barang siapa tidak percaya dengan ma’nanya tidak mengaku sungguh segala perkara itu maka adalah ia kafir tidak dinamakan dia orang yang beriman .
Firman Allah Ta‘ala :
Ertinya : “ dan barang siapa kafir ia ya’ni tidak percaya dan tidak mengaku sungguh dengan allah ta‘ala dan dengan segala malaikatnya dan dengan segala kitabnya dan sekelian rasulnya dan dengan hari akhir ya’ni hari qiyamah maka sesungguhnya sesat ia akan sebagai sesat yang jauh ” .
( bermula ehsan ) itu berbuat baik dengan ma’nanya mengerjakan segala perintah Allah seperti sembahyang, puasa dan sebagainya daripada segala yang disuruh itu dengan elok yang mencukupi segala syarat-syaratnya dan sempurna rukun-rukunnya seolah-olah mengerjakan dan menunaikan perintah Allah itu dihadapan Allah Ta‘ala dan jikalau kita tidak melihat akan dia sekalipun .
Dan ehsan ini syarat bagi kesempurnaan Islam jua . Bukanlah syarat bagi sah ugama Islam. Dan orang yang tidak mengerjakan ‘ibadat dengan elok dengan bahawa tidak cukup syarat dan rukun dan tidak ada ikhlas dan tidak khusyu’ dan tawadhu’ maka dinamakan dia orang yang tidak berbuat elok maka tidak sempurnalah ugama Islam dan tidak ada hak lagi menerima pahala daripada Allah Ta‘ala .
Sabda Nabi s.a.w : daripada Saiyyidina ‘Umar ibnu alKhaththab berkata ia :
Ertinya : diantaranya kami menduduki kami disisi Rasulullah s.a.w pada suatu hari tiba-tiba kelihatan diatas kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya dan bersangatan hitam rambutnya tidak nampak bekas-bekas perjalanannya dan tidak mengenal akan dia oleh seseorang daripada puak kami sehingga ia menduduki akan Rasulullah s.a.w dan sandar ia akan dua lututnya kepada dua lutut rasulullah . Dan meletak ia akan dua tangannya keatas dua paha Rasulullah lalu berkata ia : ‘ ya Muhammad, beritahu akan saya daripada islam’ . Sabdanya : ‘ bahawa menyaksi engkau bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad Rasulullah, dan mendiri engkau akan sembahyang dan mengeluar engkau akan zakat dan berpuasa engkau dibulan ramadhan dan menunai engkau akan fardhu haji kebaitullah jika kuasa engkau kepadanya akan jalan ’ .
Berkata lelaki itu : ‘ benar engkau ’ . Kemudian menanya lagi lelaki itu : ‘ wahai Muhammad, beritahu akan saya daripada iman ’ . Sabdanya : ‘ bahawa percaya engkau akan Allah dan akan malaikat dan segala kitab-kitabnya dan sekelian rasul-rasulnya dan akan hari qiyamah dan percaya engkau dengan qadarnya, baiknya dan jahatnya’ . Berkata lelaki itu : ‘ benar engkau ya Muhammad ’ .
Kemudian menanya pula lelaki itu : ‘ beritahu akan saya [ ya ] Muhammad daripada ehsan’ . Sabdanya : ‘ bahawa engkau mengerjakan ‘ibadat akan Allah Ta‘ala itu seolah-olahnya engkau melihat akan Allah, maka jika engkau tidak nampak akan dia maka ia tetap melihat akan dikau’ .
Maka nyatalah bahawa kebentukan Islam yang sempurna itu adalah dengan berhimpun dengan tiga perkara yang tersebut bukanlah dengan semata-mata lidah dengan islam jua padahalnya tidak menunaikan segala rukun islam dan rukun iman dan ehsan yang tersebut .
Maka adalah pada hakikatnya tidak mengenal ugama bahkan mengetahui jua dengan tidak mengaku didalam hatinya seperti yang banyak berlaku pada ummat Nabi Muhammad s.a.w dimasa-masa ini dengan mengetahui sembahyang tetapi tidak sembahyang dan mengetahui puasa tetapi tidak berpuasa dan haji dan sebagainya .

TAKRIF AGAMA ISLAM

Petikan dari Risalah Al Mishbaahul Munir

Huraian yang pertama pada pengenalan ugama

Bermula ugama ( agama ) itu ialah ibarat ( susunan kalimah ) ya’ni satu tuturan dan cakapan daripada sekumpulan dan perhimpunan undang-undang yang datang daripada Allah Ta‘ala keatas Rasulnya supaya menyampaikan akan dia kepada ummat manusia.

Atau dikatakan ugama itu ialah terkena kepada segala undang-undang yang datang daripada Allah Ta‘ala kepada Rasul-Rasulnya kemudian menyampaikan mereka itu akan segala ummat iaitulah dinamakan ugama islam dan orang yang mengikut undang-undang itu dinamakan muslim ya’ni orang yang berugama Islam .

Maka nyata daripada ta’rif itu bahawa yang disebutkan ugama itu ialah kena kepada undang-undang Allah Ta‘ala yang dihantar akan dia dengan melalui rasul-rasulnya daripada yang bersangkutan dengan ‘aqidah dan dengan ‘ibadat dan mu‘amalat dan sebagainya .

Bermula undang-undang Allah Ta‘ala lima perkara iaitu wajib, sunat, haram, makruh, harus .

Maka tiap-tiap daripada apa kerja manusia itu tidak keluar daripada salah satu daripada lima undang-undang yang tersebut yang dinama akan dia dengan hukum-hukum syara’ atau hukum-hukum taklifiyyah yang lagi akan datang menyebut akan dia didalam huraian hukum-hukum syara’ insyaa Allah .

Maka nyata pula daripada huraian ini bahawa pengenalan ugama itu ramainya orang-orang yang tidak mengenal ugama hanya pandai menyebut, pandai menulis jua dengan dalilnya ramai orang yang tidak menurut undang-undang ugama yang tersebut maka setengahnya sembahyang sahaja puasanya tidak dan setengahnya sembahyang, puasa, menunaikan haji tidak mengeluar pula zakat dan bermacam-macamlah berlakunya .

Ada kala membuat yang sunat-sunat jua tidak yang wajib . Semuanya itu daripada sebab tidak mengenal ugama . Kalau begitu, hendaklah kamu mempelajari akan dia dengan bersungguh-sungguh sehingga mengenal akan dia .