Monday, February 16, 2009

TAKRIF AGAMA ISLAM

Petikan dari Risalah Al Mishbaahul Munir

Huraian yang pertama pada pengenalan ugama

Bermula ugama ( agama ) itu ialah ibarat ( susunan kalimah ) ya’ni satu tuturan dan cakapan daripada sekumpulan dan perhimpunan undang-undang yang datang daripada Allah Ta‘ala keatas Rasulnya supaya menyampaikan akan dia kepada ummat manusia.

Atau dikatakan ugama itu ialah terkena kepada segala undang-undang yang datang daripada Allah Ta‘ala kepada Rasul-Rasulnya kemudian menyampaikan mereka itu akan segala ummat iaitulah dinamakan ugama islam dan orang yang mengikut undang-undang itu dinamakan muslim ya’ni orang yang berugama Islam .

Maka nyata daripada ta’rif itu bahawa yang disebutkan ugama itu ialah kena kepada undang-undang Allah Ta‘ala yang dihantar akan dia dengan melalui rasul-rasulnya daripada yang bersangkutan dengan ‘aqidah dan dengan ‘ibadat dan mu‘amalat dan sebagainya .

Bermula undang-undang Allah Ta‘ala lima perkara iaitu wajib, sunat, haram, makruh, harus .

Maka tiap-tiap daripada apa kerja manusia itu tidak keluar daripada salah satu daripada lima undang-undang yang tersebut yang dinama akan dia dengan hukum-hukum syara’ atau hukum-hukum taklifiyyah yang lagi akan datang menyebut akan dia didalam huraian hukum-hukum syara’ insyaa Allah .

Maka nyata pula daripada huraian ini bahawa pengenalan ugama itu ramainya orang-orang yang tidak mengenal ugama hanya pandai menyebut, pandai menulis jua dengan dalilnya ramai orang yang tidak menurut undang-undang ugama yang tersebut maka setengahnya sembahyang sahaja puasanya tidak dan setengahnya sembahyang, puasa, menunaikan haji tidak mengeluar pula zakat dan bermacam-macamlah berlakunya .

Ada kala membuat yang sunat-sunat jua tidak yang wajib . Semuanya itu daripada sebab tidak mengenal ugama . Kalau begitu, hendaklah kamu mempelajari akan dia dengan bersungguh-sungguh sehingga mengenal akan dia .



No comments:

Post a Comment